• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Utamakan Rakyat Seiring Revolusi Industri 4.0

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Warga Kerja Yayasan Terengganu diseru agar mengutamakan rakyat dalam memberikan perkhidmatan secara profesional, progresif dan berintegriti seiring zaman Revolusi Industri 4.0 .

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, di mana pada zaman ini mobiliti, kepantasan dan kecekapan memainkan peranan sangat signifikan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Ujarnya, sebagai nadi penggerakan kerajaan sudah tentu langkah tersebut sangat diharapkan untuk terus berperanan sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi membangunkan modal insan termasuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran kepada rakyat Terengganu.

"Maka sistem penyampaian perkhidmatan produktif serta berkualiri adalah imperatif bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu terus mendapat manfaat.

"Sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri, sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan serta diyakini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2023, di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu Dato' mohd Azmi Mohamad Daham.

Mengulas lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja turut memberi peringatan kepada warga kerja untuk mencipta budaya kerja kelas pertama.

"Insya-Allah dengan gabungan elemen progresif, integriti, disiplin dan tanggungjawab setiap warga kerja akan membawa Yayasan Terengganu ke arah sebuah organisasi cemerlang, dinamik serta bermindakan 'par excellence'." ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seramai 33 orang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang serta 22 orang yang telah menerima anugerah 'Jasamu Dikenang' bagi meraikan kakitangan yang telah bersara.

"Harapan saya agar pengiktirafan serta penghargaan seumpama ini dapat melonjakkan motivasi pekerja seterusnya menjadi 'role model' dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain, secara langsung membentuk ekosistem pekerjaan cemerlang," ujarnya.