• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Vaksin COVID-19 : Empat Penemuan Baharu

KUALA TERENGGANU, 26 September – Suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap dibuktikan dapat mencegah beberapa perkara berdasarkan empat aspek kajian dijalankan bermula 1 April sehingga 12 September melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi.

Menurut KKM, kajian itu membuktikan pengambilan vaksin COVID-19 dengan dos lengkap adalah 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ke unit rawatan rapi (ICU) dan 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian.

“Selain itu, pengambilan dua dos suntikan 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan serta 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala,” katanya menerusi hantaran di Twitter, kelmarin.

Katanya, analisis tersebut dijalankan Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines di bawah PICK (RECoVaM) dan diterajui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR-NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Daripada lebih 14.5 juta individu lengkap vaksinasi itu, 953 orang atau 0.0066% dimasukkan ke ICU manakala 1,445 atau 0.010 peratus kematian.

“Majoriti individu lengkap vaksin yang dimasukkan ICU dan kematian adalah warga emas dan mempunyai komorbid.

Dalam pada itu, AstraZeneca menunjukkan bilangan kes ICU dan kematian yang lebih rendah.

“Ini kerana bilangan penerima dos lengkap vaksin itu yang sedikit berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac serta sebahagian besar penerima vaksin itu adalah golongan muda,” katanya lagi menerusi webinar dibentang oleh Pengarah ICR-NIH, Dr. Kalai Peariasamy.

Berdasarkan Laman web rasmi kerajaan Malaysia untuk data dan analisa tentang COVID-19, Terengganu telah mencapai kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa lebih 80 peratus dengan 91 peratus lagi sekurang-kurangnya disuntik satu dos.