• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Vaksin Kurangkan Risiko Jangkitan Dan Gejala

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Vaksin Covid-19 diyakini mampu mengurangkan risiko jangkitan dan gejala teruk akibat virus tersebut.

Namun menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, mana-mana indidvidu yang sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin tidak wajar menganggap diri masing-masing kebal atau ada jaminan untuk tidak dijangkiti pandemik itu 

Katanya, golongan berkenaan sebaliknya perlu kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat selagi negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Vaksin bukanlah 'freedom passport' atau ubat,  sebaliknya bertindak untuk menguatkan tahap antibodi dan daya ketahanan badan manusia.

“Penerima vaksin masih boleh dijangkiti, namun kebarangkalian untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan adalah rendah berbanding individu yang tidak menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Munajat Rakyat Terengganu Darul Iman 6.0, Forum Forum Perdana Covid-19  : Tanggungjawab Bersama yang disiar secara langsung melalui TV Darul Iman, malam tadi.

Turut bersama dalam program terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita, Zuraida Md Noor

Dr Suhazeli turut memberitahu, masyarakat hari ini perlu terus kekal mengamalkan SOP ketat, bukan bertindak sambil lewa disebabkan lali dalam normal baharu.

“Apatah lagi sekarang ini, negara berdepan dengan kehadiran varian baharu iaitu Delta dan Beta disifatkan sebagai varian yang cukup membimbangkan dan perlu diberi perhatian yang serius.

“Varian-varian baharu virus itu menjangkiti dalam tempoh beberapa saat dalam jumlah yang ramai dan mengakibatkan kes kematian yang tinggi,” katanya.


Tag: