• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Vaksin Lengkap : 'Dine In' Dibenarkan Bagi Negeri Fasa Dua Ke Atas

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam fasa dua dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Selasa ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut termasuk aktiviti makan di kedai (dine-in) dibenarkan di mana pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) bagi memastikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

"Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti 'dine-in' sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi. Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja dan mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan COVID-19.

"Sehubungan itu, saya nasihatkan orang ramai untuk 'dine-in' apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk 'take-away' jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini.

Katanya, beliau menyarankan kepada pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

"Kita faham bahawa risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

"Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk 'dine-in: di premis kedai makan, pastikan anak-anak mematuhi SOP yang ketat," ujarnya.