• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Vaksin Lengkap: Tarik Balik Kemudahan Sekiranya Tidak Patuh SOP

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan yang diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.

"Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini. 

"Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini.

Menurut Muhyiddin, dengan kemudahan yang diberikan kerajaan bukanlah bermakna rakyat boleh mengabaikan SOP-SOP yang telah ditetapkan. 

"Kemudahan dine-in dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus COVID-19.

"Saya telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP COVID-19, memastikan kementerian-kementerian dan agensi yang bertanggungjawab untuk mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan yang diberikan.

"Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat, " jelasnya.

Tambah beliau, langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak kerajaan dan masyarakat. 

"Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini.

"Dalam pada kemudahan-kemudahan ini diberikan, kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada di atas landasan yang tepat terus dilaksanakan sebaiknya terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan, serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas, " ujarnya.