• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Vaksin : Malaysia Negara Ketiga Di Asean Selesai Dos Pertama

KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Malaysia menduduki ranking ketiga antara negara di rantau Asia Tenggara yang selesai pengambilan vaksin dos pertama COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim.

Menurutnya, kadar peratusan dos pertama di dalam negara merekodkan kemajuan sebanyak 18.6 peratus daripada populasi keseluruhan sejak pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu.

“Kita hanya dibelakang Kemboja (pertama) dan Singapura (kedua) kerana ia mengambil kira faktor saiz populasi dan tempoh dan kadar pembelian vaksin.

“Negara ini turut mendahului Indonesia (11.3 peratus), Vietnam (3.7 peratus), Thailand (10.2) peratus dan juga New Zealand (14.3 peratus),” katanya semasa sidang media selepas tinjauan PPV Masjid di SMK Imtiaz Kuala Terengganu di Kampung Banggol Karah, pagi tadi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut menyifatkan keadaan adalah selesa dari segi bekalan vaksin terutamanya apabila menerima 12 juta dos dalam bulan Julai ini.

“Sasaran bulan ini adalah sebanyak hampir 400 ribu suntikan selari dengan jangkaan penerimaan vaksin termasuk sumbangan dua juta dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca daripada kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

“Ekoran peningkatan bekalan ini, kitab oleh memendekkan tempoh menunggu suntikan pertama dan kedua mengikut tempoh ditetapkan pengeluarnya.

“Misalnya seperti Astra Zeneca, sebelum ini ditetapkan 12 minggu, sekarang kitab oleh cepatkan sehingga waktu menunggu sembilan minggu sahaja,” katanya lagi.

Jelasnya, matlamat seterusnya adalah mencapai 80 peratus komuniti kelompok bagi populasi 18 tahun ke atas pada akhir Oktober ini manakala keseluruhan populasi sebelum hujung tahun ini.