• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Vaksin Pelajar Sekolah Legakan Ibu Bapa

Oleh : Hafiz Sahidi

MARANG, 23 September – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja yang mula dilaksanakan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah beberapa hari lalu memberi kelegaan kepada ibu bapa dan penjaga.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, rata-rata ibu bapa yang ditemui menyambut baik usaha itu sebagai persiapan menghantar anak-anak mereka ke asrama tidak lama lagi.

Katanya, penjaga berpandangan langkah itu turut membolehkan anak-anak mereka belajar seperti biasa dalam keadaan lebih selamat.

“Saya melihat sambutan yang sangat baik daripada anak-anak pelajar kita dan diraikan oleh ibu bapa mereka dengan aturan baik dan tersusun.

“Dalam program hari ini (kelmarin) sekitar 1,200 dos akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang terlibat,” kata beliau kepada pemberita selepas PICK pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa.

Hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah, Lizan Che Mat, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Tan Sin Yiew dan Pegawai Pendidikan Daerah, Mohamad Nawawi Rani.

Dalam pada itu, mewakili kerajaan negeri, Mohd Nor mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Marang dan pihak sekolah yang dapat menyempurnakan program vaksinasi tersebut.

“Semoga program seumpama ini akan terus berjalan dengan baik,” katanya.

Program tiga hari vaksinasi pelajar sekolah berkenaan bertujuan membendung penularan Covid-19 di sekolah yang dijadualkan akan dibuka tidak lama lagi.
 


Tag: