• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Vaksinasi Penentu Terakhir Peralihan Fasa Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Terengganu telah dan sedang memperkemaskan program vaksinasi bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat keluar dari fasa satu ke fasa dua dalam masa terdekat sekali gus membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, individu lengkap dua dos vaksin di Terengganu setakat semalam hanya di sekitar tujuh peratus berbanding 10 peratus yang dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, disebabkan itu Terengganu masih tidak dibenarkan beralih ke fasa dua kerana belum memenuhi kriteria itu.

"Dua daripada tiga kriteria telah kita lepasi, namun kadar vaksinasi lengkap dua dos masih belum. Oleh itu, kerajaan memperkasakan program vaksinasi di samping berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk keluar daripada fasa satu.

"Mengikut pelan pemberian vaksin yang sedang dijalankan, 10 peratus kadar vaksinasi di Terengganu yang telah lengkap mengambil dos kedua akan dapat dicapai dalam tempoh satu hingga dua minggu ini,"  ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan MKN supaya Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak mengambil kira angka COVID-19 secara kolektif di peringkat negara.

"Peluang mestilah diberi kepada negeri-negeri yang telah mencapai nilai ambang tiga kriteria yang telah ditetapkan untuk keluar lebih awal dari fasa satu ke fasa dua.

"Cadangan itu telah dipersetujui, jika dilihat daripada 'trend' seluruh negara, memang agak sukar untuk diturunkan kepada 4,000 Kes. Hari ini juga telah mencapai lebih 6,000 kes, sedangkan ada negeri-negeri yang telah mencapai nilai ambang tersebut,"

Menurut Dr. Alias, berdasarkan nilai ambang yang telah ditetapkan dalam PPN, Terengganu mestilah mempunyai purata kes harian kurang daripada 157 kes sehari, kita sebenarnya telah mencapai angka ini telah lama dengan nilai dua angka sehari. 

"Seterusnya, penggunaan katil di wad ICU mesti kurang daripada 13 katil, penggunaan katil di wad ICU Terengganu hari ini hanya 8 katil," katanya.

 

 

 


Tag: