• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Vaksinasi 'Walk-In' Kini Di 14 PPV Di Terengganu Bermula Ahad Ini

KUALA TERENGGANU, 3 September - Rakyat negeri ini yang masih belum menerima vaksinasi Covid-19 boleh berbuat demikian dengan hadir secara 'walk-in' ke semua 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh daerah, bermula Ahad.

Jabatan Kesihatan negeri dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan lagi jumlah penerima sekali gus mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

Katanya, bagi daerah ini PPV yang terlibat ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) dan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) manakala Dewan Al-Muktafi Billah Shah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi Kuala Nerus dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu) di samping Dewan Gong Kemuntung dan Kota Putra Square (Besut).

“Di Kemaman pula ialah PPV Dewan Datuk Seri Amar Diraja dan Dewan Sivik Kertih diikuti di Dungun membabitkan Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Dewan Dagang Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).

“Bagi daerah Marang ialah di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) dan Dewan Sivik Bukit Payung manakala di Hulu Terengganu pula di PPV Dewan Majlis Daerah di Kuala Berang dan Ajil,” kata kenyataan itu di laman Facebook hari ini.

Kenyataan itu berkata, vaksinasi secara walk-in itu bagaimanapun terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, pemastautin di Terengganu sahaja, belum mendaftar melalui MySejahtera, belum mendapat janji temu di samping terlepas janji temu.

Menurutnya, waktu operasi vaksinasi walk-in bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada slot yang disediakan.

Sehingga semalam sebanyak 84.8 peratus daripada populasi negeri sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.