• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Van Jenazah Percuma Di Tepoh Beroperasi 24 Jam

KUALA NERUS, 8 Februari - Pertubuhan Kebajikan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, TEPOH CARE  terus memainkan peranan penting dalam melancarkan pengurusan jenazah di kawasan terbabit apabila menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma.

Pengurus Khairat Kematian DUN Tepoh, Syakir Ahmad berkata, inisiatif  itu dilakukan 
bagi meringankan beban ahli keluarga jika berlaku kematian.

Katanya, setakat ini penggunaan van jenazah ada kalanya tidak dapat memenuhi permintaan apabila berlaku beberapa kematian dalam tempoh masa berdekatan.

“Seperti yang berlaku hari ini, kematian Almarhum Zakaria Ismail di Kampung Seberang Tepoh dan Almarhum Salim Yusof di Kampung Seberang Medan.

“Insya-Allah pihak pengurusan TEPOH CARE sedang mempertimbangkan pembelian sebuah van jenazah baharu yang akan ditempatkan di zon yang berlainan. Untuk perkhidmatan dalam kawasan DUN Tepoh kami tidak kenakan apa-apa bayaran sama ada arwah peserta khairat kami atau tidak kerana perbelanjaannya telah ditanggung sepenuhnya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh,” katanya setelah ditemui pihak media di Tanah Perkuburan Kampung Lerek.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkhidmatan disediakan itu tanpa mengira jarak perjalanan dari rumah ke tanah perkuburan.

Jelasnya, keluarga yang tidak menyertai mana-mana badan khairat dan tergolong dalam kalangan keluarga miskin boleh mendapatkan kit pengurusan jenazah melalui Kiosk TEPOH CARE di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh.

“Boleh dikatakan perkhidmatan ini beroperasi 24 jam membabitkan keseluruhan di daerah ini jika ada kematian.

"Pengurusan jenazah yang ditawarkan bermesej saling membantu dan meringankan beban keluarga si mati,” tambah beliau.


Tag: