• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Velodrom Azizulhasni Dibuka Awal Bulan Depan

KUALA TERENGGANU, 9 Mac- Velodrom Azizulhasni di Dungun dijangka dapat dibuka kepada orang ramai awal bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembinaan velodrom tersebut telah siap sepenuhnya namun terdapat beberapa kerja pembaikan kecil perlu dilakukan.

“Pada Januari lalu, pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Persatuan Lumba Basikal Terengganu serta atlet berbasikal telah menguji veledrom itu dan berpuas hati.

 “Dalam masa yang sama beberapa permasalahan kecil yang ada di velodrom itu telah dikenalpasti antaranya terdapat sebahagian permukaan trek yang tidak rata.

“Selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya dan atlet berbasikal, terdapat beberapa pembaikian perlu dilakukan oleh kontraktor sebelum ianya dapat dibuka kepada orang ramai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insurans kematian kepada waris atlet lawan pedang Terengganu di Kampung Telaga Daing, disini, semalam.

Wan Sukairi berkata, bagi mengesahkan veledrom tersebut selamat untuk digunakan oleh orang ramai, pihaknya juga akan menganjurkan satu kejohanan atau pertandingan selepas selesai kerja-kerja pembaikan kecil tersebut.