• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Velodrom Azizulhasni Dijangka Siap April Tahun Hadapan

KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Velodrom Azizulhasni dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan memandangkan negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan kerja-kerja pembinaannya tergendala.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  sehingga kini, lebih daripada separuh projek tersebut telah pun siap iaitu mencapai  51 peratus. 

"Walaupun mengikut jadualnya hanya 44 peratus, tetapi sudah nampak, tempat pengurusan ataupun pejabat termasuklah balai pengawal dan sebagainya telah pun nampak rupalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Belanjawan Terengganu 2021 yang disiarkan secara langsung di TV Darul Iman di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, selain daripada velodrom yang menggunakan peruntukan daripada kerajaan pusat, ada tiga lagi projek yang menggunakan peruntukan daripada negeri iaitu projek pembinaan pusat futsal, Kompleks Sukan Squash dan juga membaik pulih lapang sasar menembak. 

"Namun begitu, seperti yang kita tahu apabila berlaku COVID-19 ini memberi impak kepada kewangan kerajaan yang agak ketara juga, maka ketiga-tiga projek ini turut terkesan," katanya. 


Tag: