• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Video Tular Air Deras Bukan Di Tasik Kenyir-TNB

KUALA TERENGGANU, 31 Disember- Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan satu video berdurasi 18 saat yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok menunjukkan air sungai deras sehingga melimpah ke jambatan berlaku di Tasik Kenyir.

TNB dalam satu kenyataan menjelaskan air deras yang berlaku itu adalah dari Sungai Telemong berdekatan dengan Gawi.

"Aliran air Sungai Telemong itu tidak memasuki Tasik Kenyir dan setakat ini, paras air di empangan Tasik Kenyir masih selamat dan terkawal.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan video tular dan tidak berkongsi berita yang tidak sahih di media sosial," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, TNB berkata, paras air di empangan hidroelektrik di Stesen-Stesen Janakuasa Kenyir TNB Genco, hari ini berada pada paras terkawal dan di bawah paras limpah.

"Pemantauan secara berterusan terus dijalankan dan maklumat yang berkaitan akan disalurkan kepada pihak berkenaan secara berkala," menurut kenyataan itu.