• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Virus Influenza, Penduduk Terengganu Perlu Berwaspada - MB



KUALA TERENGGANU, 15 Januari- Orang ramai terutama warga emas, kanak-kanak dan mereka yang dikategorikan berisiko tinggi dijangkiti virus  influenza dinasihatkan supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mereka  perlu  kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’, mengamalkan adab batuk yang baik dan  cara hidup sihat.

Tambahnya, bagi mereka yang mempunyai gejala-gejala jangkitan dinasihatkan untuk melaksanakan beberapa langkah antaranya tidak pergi ke tempat tumpuan ramai, sebaliknya berehat di rumah.

“Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan,”katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri turut memberitahu bahawa beliau percaya Jabatan  Kesihatan Negeri Terengganu  (JKNT) telah mengambil langkah awal dan meningkatkan pemantauan berkaitan penyakit itu terutama membabitkan pelajar sekolah dan mereka yang berisiko tinggi.

“Pada masa sama jabatan itu perlu memandang serius penyebaran berita mengenai peningkatan kes penularan jangkitan influenza yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini,”katanya.

Dalam laporan berita Teganukita.net sebelum ini sembilan kes jangkitan virus influenza direkodkan di Terengganu membabitkan pesakit berusia antara tiga hingga 38 tahun.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Noor Azimi Yunus berkata, kes direkodkan pada 5 dan 7 Januari lalu.

Katanya, mangsa daripada dua keluarga berbeza di Setiu walaubagaimanapun semua pesakit hanya dirawat di klinik swasta.

“Daripada sembilan kes itu, lima kes positif Influenza A dan tiga kes positif Influenza B.

“Keadaan semua kes adalah stabil dan dalam keadaan terkawal. JKNT dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu akan terus memantau kejadian ini,” katanya dalam kenyataan itu.


Tag: