• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

Wacana Al-Quran Kongsi Keistimewaan Kalam Allah

Sheikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi ketika menjawab soalan peserta pada program Wacana Al-Quran yang berlangsung di Auditorium JHEAT. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail 

Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) buat julung kalinya menganjurkan program Wacana Al-Quran Bersama Sheikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi bagi memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya berkaitan keistimewaan kalam Allah.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Dakwah JHEAT, Musameh Jusoh berkata, Ketua Lajnah Tashih Al-Quran Mesir itu berada di Terengganu selama tiga hari bermula 15 September lalu bagi berkongsi mengenai ilmu al-Quran.

“Penceramah untuk program wacana al-Quran ini adalah seorang tokoh daripada Mesir dimana merupakan pakar rujuk peringkat antarabangsa dan beliau pernah menduduki jawatan tertinggi di Mesir dan menjadi rujukan seluruh dunia tentang perkara berkaitan al-Quran yang menjadi pegangan kita pada hari ini.

“Pada 15 September lalu, hampir 1,000 orang telah mengikuti program Wacana al-Quran bersama Mantan Ketua Umum Maqari’ Mesir itu yang kita anjurkan khusus untuk masyarakat dan berlangsung di Masjid Bukit Payong, Marang.

“Manakala, keesokkannya (16 September) diadakan  pula di Masjid Abidin, Kuala Terengganu dan dianggarkan hampir 1,500 orang telah mengambil manfaat daripada program yang kita adakan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berlangsungnya Program Wacana Al-Quran Bersama Sheikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi di Auditorium JHEAT, semalam.

Menurut beliau, program yang diadakan di Auditorium JHEAT itu pula memfokus kepada mereka yang terlibat dengan bidang al-Quran di peringkat negeri iaitu khusus kepada para hafiz dan hafizah dan mereka yang berkecimpung dalam bidang al-Quran.

“Kita merasakan cukup bertuah kerana dapat membawakan seorang pakar al-Quran untuk berkongsi ilmu dengan rakyat negeri ini dan JHEAT sentiasa bersedia untuk mengadakan program sebegini pada masa akan datang dalam usaha membantu masyarakat mendalami al-Quran,” ujarnya.

Sementara itu, Abd Hadi Che Abd Halim, 25, yang merupakan salah seorang daripada 300 peserta Program Wacana Al-Quran Bersama Sheikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi yang berlangsung di Auditorium JHEAT berkata, walaupun hanya dapat bersua dalam tempoh yang singkat, tetapi ilmu yang disampaikan pakar al-Quran itu amat bermakna.

“Apa yang keluar dari mulut Sheikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi itu ibarat ketulan emas yang dapat kita semua ambil iktibar untuk terus belajar dan mengajar ilmu al-Quran untuk kebaikan bersama.

“Kedatangan beliau juga dapat memberi sinaran baru kepada rakyat Terengganu sekali gus  memberikan semangat kepada anak muda untuk belajar al-Quran yang menjadi panduan hidup kita semua,” ujarnya yang merupakan Bilal Masjid Abidin Kuala Terengganu.

Bagi Hafizal Zukairi Wan Azwadi, 23, yang merupakan seorang guru Kafa berkata, al-Quran itu adalah asal-usul kepada segala ilmu.

 “Marilah kita bersama-sama manfaatkan ilmu al-Quran dalam kehidupan masing-masing untuk kebaikan dunia dan akhirat,” ujarnya.




Tag: