• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Wad Kelas 3 : ‘Terharu, Kerajaan Pandang Golongan Seperti Kami’

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Rakyat Terengganu yang menerima manfaat hasil inisiatif wad kelas 3 percuma meluahkan rasa terharu kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

Penghantar barang di Ninja Van, Wan Fazrullah Wan Omar berkata, dia bersyukur kerana kepimpinan kerajaan masih membantu golongan yang berpendapatan rendah sepertinya. 

“Sudah tentu bantuan ini meringankan beban kami, selalunya untuk kes isteri bersalin saya dikenakan bayaran minima sebanyak RM55 untuk tempoh dua hari di sini.

“Ini kali kedua isteri bersalin di wad kelas ketiga, sebelum ini dikenakan bayaran walaupun sudah ada subsidi, tetapi sekarang yang tidak dikenakan subsidi, kerajaan negeri pula tanggung, kami tak perlu bayar.

“Terima kasih kerajaan sebab memandang golongan bawahan seperti kami,” katanya ketika ditemui UPDI di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam.

Antara caj yang dikecualikan bagi seorang pesakit, RM200.50.

Bagi Wan Faridah Wan Muda, 53, dia mengakui agak terkejut selepas dimaklumkan caj wad bersalin anaknya akan ditanggung kerajaan Terengganu dan tidak perlu membayar sebarang kos.

“Apabila nak bayar bil untuk anak saya, Nur Athirah Ibrahim, pihak hospital cakap tak perlu bayar, pihaknya akan ‘claim’ dengan kerajaan negeri, saya agak terkejut sebab biasanya bayar.

“Seingat saya, sebelum ini bayaran di sekitar RM20 hingga RM150, bagi orang bergaji bulanan atau penjawat awam mungkin lagi rendah, tetapi masih ada caj yang perlu dibayar, sekarang percuma.

“Saya amat bangga dengan apa yang kerajaan sekarang sedang buat, kerajaan prihatin kepada kami, kalau ikutkan tak semua rakyat Terengganu berkemampuan, bagi kami sebagai golongan sederhana bantuan ini sangat bermakna, alhamdulillah,” katanya yang turut mencadangkan agar bantuan ini dikembangkan ke wad kelas 2.

Wan Faridah.

Sementara itu, menurut Ketua Jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Saroha Salim, rata-rata pesakit yang ditemui meluahkan rasa terkejut dan senang mereka terhadap kerajaan negeri kerana melaksanakan menifesto terbabit.

"Sepanjang berkhidmat selama 24 tahun dalam bidang kejururawatan ini, ramai rakyat biasa agak sukar untuk membayar caj wad terbabit walaupun ia dianggap kecil," jelasnya.

Pada 17 Jun lalu, kerajaan Terengganu mengumumkan Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga  bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu bermula 1 Julai 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu.


Tag: