• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Walaupun PKP, Sambutan Tetap Meriah

Oleh: Qatadah Zakaria/Shahida Mohd

KUALA NERUS, 17 Februari - Meskipun Tahun Baru Cina dilihat suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap rakyat Malaysia tetap menyambut meriah setiap perayaan yang datang.

"Saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Tionghua dan semoga perayaan kali ini memberi kebaikan dan kejayaan walaupun terpaksa disambut dalam keadaan sederhana.

"Ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diperkenalkan sepanjang PKP, tiada sebarang majlis jamuan diadakan sempena Tahun Baru Cina. Namun, mudah-mudahan perayaan tetap dapat disambut meriah,' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu melawat ke sekitar 30 buah rumah warga Tionghua sempena sambutan perayaan itu di Taman Perumahan Wakaf Tembesu, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin serta Timbalan Ketua Sekretariat Parlimen Kuala Nerus, Mohd Harme Aman Razali.

Dalam kunjungan tersebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mengagihkan cenderahati berupa hamper dan makanan kepada penduduk terlibat.

"Apa yang penting, dalam keadaan pandemik ini kita perlu sama-sama menjaga SOP dan sentiasa mengamalkan norma baharu bagi mengelakkan penularan Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Khairi Khom berkata, program seperti ini wajar diadakan bagi mendekatkan komuniti Cina dengan para pimpinan negeri.

"Program seperti ini sangat baik dan saya mewakili penduduk kaum Cina di sini mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Dr Khairuddin terhadap rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama," katanya ketika ditemubual. 

Dalam pada itu, seramai 514 keluarga kaum Cina turut diraikan sempena Tahun Baru Cina di seluruh Kuala Nerus melibatkan pemimpin kawasan DUN masing-masing.