KUALA TERENGGANU, 15 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berpuas hati dengan proses mengundi awal yang melibatkan tiga lokasi bagi daerah Dungun, hari ini.
Lokasi terbabit ialah Bilik Gerakan & Taklimat Balai Polis Bukit Besi, Dewan Seri Bistari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan Bilik Rehat Aras 1 Balai Polis Paka.
Katanya, berdasarkan tinjauan beliau pagi tadi, perjalanan proses dilihat cukup teratur dan lancar tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
"Setakat ini saya berpuas hati dengan proses pengundian awal yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berjalan lancar termasuk dari aspek pengurusan dan keselamatan.
“Tambahan pula, pengundi awal ini adalah dari kalangan badan beruniform yang sangat berdisiplin,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Sebelum itu, beliau sempat menyantuni para pengundi yang berbaris di luar dewan pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.
Difahamkan, 594 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan serta pegawai dan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta pasangan layak mengundi awal bagi daerah Dungun.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, semua pengundi awal termasuk anggota polis dan tentera tidak perlu ‘takut’ dengan tekanan daripada mana-mana pihak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
“Mereka bebas untuk memilih mana-mana parti mengikut pertimbangan masing-masing dan calon yang dipilih terpulang kepada pengundi,” ujarnya.