• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Wanita Perlu Elak Risiko Jadi Sasaran Penjenayah


Wanita perlu sentiasa peka dan berwaspada ketika berada di lokasi berisiko yang mengancam keselamatan bagi mengelakkan diri menjadi sasaran penjenayah terutamanya jenayah seksual seperti rogol dan cabul.

 Isteri Menteri Besar, Tuan Faezah Tuan Ab Rahman berkata, wanita kerap menjadi sasaran disebabkan faktor kelemahan fizikal yang membuatkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menjadikan mereka sebagai sasaran.

Justeru katanya, antara langkah-langkah pencegahan jenayah perlu diberi perhatian oleh golongan ini (wanita) bagi mengelakkan perbuatan yang melangkaui norma kemanusiaan termasuk dengan menjaga kehormatan diri.

Ia seharusnya bermula dengan kesedaran diri wanita itu sendiri.

“Islam telah mengajar beberapa prinsip mudah seperti menutup aurat, tidak menunjukkan perhiasan, menjaga batas pergaulan berlainan jantina dan sebagainya bagi melindungi kaum yang lemah ini daripada sasaran penjenayah,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Wanita Anti Jenayah di Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, hari ini.

Katanya, golongan wanita juga perlu mempelajari seni pertahanan diri bagi membantu diri menghadapi serangan penjenayah dan peka terhadap persekitaran serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Tag: