• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Wanita Terengganu Tidak Ketinggalan Bantu Pesakit COVID-19

KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Kaum wanita di negeri ini tidak ketinggalan untuk turut serta membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada pesakit COVID-19 yang masih dirawat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, menerusi program terbaru pihaknya telah memberi sumbangan wang tunai dan set makanan petang buat 160 pesakit di  Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) UiTM Chendering.

“Difahamkan bahawa ramai lagi mereka yang positif ditempatkan di sini dengan kadar kemasukan pesakit baru pada setiap hari.

“Oleh itu, saya bersama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu, Wan Nur Sakinah Din dan Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) bekerjasama dalam meringankan beban sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat mereka yang terkesan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua agensi penguatkuasa yang terlibat dalam pengoperasian PKRC ini,” katanya kepada pemberita selepas kerja pengagihan bantuan di pusat itu kelmarin.

Terdahulu Zuraida memaklumkan program tersebut turut memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan.

"Mereka ini juga kita tidak lupakan, sudah pasti pengorbanan 'frontliner' merawat dan menjaga pesakit sangat kita hargai," katanya.

Sementara itu, penyelaras PKRC tersebut, Dr Wan Norizan Wan Abdullah memaklumkan, PKRC yang mula beroperasi pada 21 Januari itu telah menempatkan kira-kira 600 pesakit.

“Jumlah sembuh juga ramai dan pusat ini kini menempatkan sekitar 160 orang pesakit lagi dengan 13 petugas kesihatan satu shif.

"PKRC ini digunakan untuk pesakit COVID-19 tahap satu dan dua yang tidak sesuai menjalani pengasingan di rumah setelah disaring oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).