• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Wanita Tonggak Masyarakat Sejahtera - Wan Sukairi

Wan Sukairi sempat beramah mesra bersama sebahagian peserta Dialog Wanita Sejahtera.
KUALA TERENGGANU, 4 November - Golongan wanita dilihat mampu menjadi tonggak utama dalam memberi kesedaran tentang tanggungjawab memelihara kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia terbukti apabila para wanita dapat memberikan nasihat, didikan dan bimbingan yang lebih berkesan dalam mewujudkan gelombang kesedaran terutama dalam pembangunan insan bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Jelasnya, slogan kerajaan negeri mempunyai tiga elemen yang berasingan tetapi berkait rapat antara satu sama lain termasuk dalam aspek kekeluargaan.

"Kemajuan yang diimpikan seiring dengan keberkatan yang Allah berikan tetapi kalau tidak seiring dengan keberkatan akan dapat musibah dan bukannya kesejahteraan.

"Sebab itu, wanita berperanan penting kerana mereka adalah orang yang bertanggungjawab mendidik anak-anak dan perlu diberi kesedaran tentang pendidikan yang menjurus kepada bagaimana nak lahirkan generasi yang baik yang akhirnya membawa kesejahteraan kepada negeri khususnya dan negara amnya," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Wanita Sejahtera (Dalam Konteks Islam Memimpin) di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.

Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Khairul Ummah dengan kerjasama KT Care mendapat sambutan hampir 200 peserta dari 50 NGO wanita yang terdapat di Terengganu.


Menurut Wan Sukairi, pengisian dialog sepanjang program oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pejabat agama  diadakan khusus untuk memberi maklumat tentang senario semasa kepada peserta yang hadir.

"Saya harap mereka akan mendapat ilmu, maklumat dan kesedaran hasil dialog pada hari ini supaya mereka dapat sampaikan apa yang diperolehi kepada ahli-ahli di semua peringkat agar dapat menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara bersama," ujarnya.

Tag: