• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Warga Dungun Diseru Daftar Suntikan Vaksin COVID-19

DUNGUN, 27 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyeru warga Dungun agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, orang ramai sepatutnya tidak menolak untuk mendapatkan suntikan ini yang merupakan salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Saya dimaklumkan sebelum ini, bilangan penduduk Dungun yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 ini ditangga keempat daripada lapan daerah di Negeri Terengganu, tetapi dalam sehari dua ini, bilangannya merudum, jatuh tempat kedua tercorot, ini bermakna ramai yang takut-takut untuk mendapatkan suntikan berkenaan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan Ramadan DUN Rantau Abang yang diadakan di Dewan Al-Husna, Darul Ansor Kampung Alor Mak Bah di sini, baru-baru ini. 

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli itu seramai 150 orang fakir miskin dan 33 orang anak yatim telah menerima sumbangan. 

Katanya , beliau sendiri telah selesai mendapatkan dua dos suntikan vaksin dan alhamdulillah tiada apa yang tidak diingini berlaku. 

"Saya berharap janganlah kita mempercayai pelbagai khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tolonglah daftar sebagai ikhtiar kita mengelak daripada dijangkiti wabak ini," ujarnya.


Tag: