• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Warga Emas Kaum Tionghua Terima 'Angpau'

KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Warga emas kaum Tionghua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di sini ceria apabila menerima 'angpau' daripada pihak kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, aktiviti ziarah dan sumbangan bantuan menjadi rutin pihaknya bukan sahaja pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Namun, katanya bantuan kali ini agak istimewa kerana ia berdekatan dengan perayaan kaum cina.

"Menjadi tanda bahawa kerajaan kini sangat mengambil berat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kesemua aktiviti ziarah dan juga agihan bantuan dijadikan rutin bagi PKM Bandar untuk melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

"Ini juga tanggungjawab kami kepada orang awam terutama warga emas yang telah diteliti kurang berkemampuan daripada maklumat yang diterima daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing," katanya ketika menziarahi kaum cina di Kampung Cina, Kampung Pulau Kambing dan Kampung Banggol hari ini.

Ahmad Shah (berkopiah) ketika menghulurkan sumbangan kepada warga emas masyarakat cina di Kg. Pulau Kambing.

Katanya lagi, beliau berharap agar bantuan dari pihak PKM Bandar dapat meringankan kos sara hidup keluarga sekali gus menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina mereka.

“Diharapkan dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh ahli keluarga," tambah beliau.


Tag: