• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Warga Emas Terharu Dapat Rumah Baru

BESUT, 25 Oktober - "Pak cik tidak perlu lagi menumpang di rumah saudara kerana menerima kediaman baru hasil sumbangan kerajaan negeri," kata warga emas, Sulaiman bakar,62, yang kehilangan rumah akibat kebakaran tahun lalu.

Sulaiman berkata, dia begitu terharu dan tidak pernah menduga berpeluang menerima bantuan rumah untuk dia bersama ahli keluarga yang lain berteduh.

"Alhamdulliah, impian untuk memiliki rumah kembali telah tercapai walaupun sedih mengenangkan rumah asal yang habis musnah dalam kebakaran itu.

“Pak cik sangat bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rumah ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu merealisasikannya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pejabat Daerah Besut serta Majlis Pengurusan Komuniti kampung (MPKK),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah tersebut.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, pembinaan rumah tersebut mengalami sedikit kelewatan disebabkan pandemik COVID-19.

"Ia mengambil masa hampir 5 bulan untuk disiapkan, sepatutnya siap lebih awal tetapi apabila berdepan dengan COVID-19, pembinaan rumah tersebut terpaksa ditangguhkan dan akhirnya ia dapat disiapkan pada awal bulan 10 dengan sempurna," ujarnya.

Katanya, pembinaan rumah tersebut adalah inisiatif daripada Tabung Darul Iman dibawah peruntukan bencana.

"Semoga dengan penyerahan kunci rumah ini dapat membantu mereka mendiami rumah ini dengan lebih selesa disamping meringankan beban menyara anak-anaknya. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan seluruh tenaga kerja dalam pembinaan rumah ini," ujarnya.


Tag: