Berita :
Warga Tani, Penternak 'Sesak Nafas' Hadapi Kenaikan Diesel
Warga Tani, Penternak 'Sesak Nafas' Hadapi Kenaikan Diesel
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 21 April - Kenaikan kos diesel dalam negara meletakkan warga tani, penternak dan nelayan dalam situasi terlalu 'sempit untuk bernafas' disebalik usaha mereka memastikan penghasilan makanan terus terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, inilah situasi bagaimana wira-wira tidak didendang yang bekerja untuk menghasilkan makanan yang kita makan pada hari ini.

"Memang isu kenaikan harga minyak ini memberikan impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran hasil makanan dalam semua sektor, pertanian, penternakan, perikanan, termasuk juga nelayan. 

"Dalam sektor pertanian, jentera pertanian sebenarnya tidak diberikan subsidi diesel.

"Untuk nelayan-nelayan, nelayan pantai memang mereka dapat subsidi minyak sebanyak 50 liter sehari. Namun, 50 liter sehari kalau nelayan sampan bot fiber dengan kapasiti enjin 40 kuasa kuda yang pergi mengangkat ikan dalam jarak sekitar 15 batu nautika, ramai yang tak sempat balik, maknanya habis minyak tengah jalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Jelas Azman, isu-isu berkenaan di angkat ke atas kerana ia tidak berada dalam bidang kuasa negeri. 

Tambahnya lagi, bagi nelayan laut dalam kelas C dan C2, mereka tidak diperuntukkan dengan subsidi diesel. 

"Saya menerima aduan baru-baru ini dalam lawatan ke Kuala Besut, untuk bot pukat jerut, pertambahan kos sekali keluar adalah di antara RM50,000 sehingga RM60,000, pertambahan kos daripada kos sedia ada. 

"Dari segi sektor pertanian padi (pula) contohnya, kos jentera pembajak sebelum daripada kenaikan dulu berharga seekar RM170. Dengan kenaikan diesel, dia akan meningkat kepada hampir 400 set. 

"Begitu juga jentera penuai di kita di Kelantan, Terengganu, yang kira kos berdasarkan nilaian guni, RM13 seguni akan meningkat kepada hampir RM20 seguni.

"Ramai yang mula bersungut, kita sebenarnya terlalu kritikal dan tidak mampu tanggung kos, cuma kita perlu bertahan kerana ini adalah sektor kritikal," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan