• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Warga Thailand Cetus Penularan, Lokaliti Dikenakan PKPD

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Satu lokaliti di Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula lusa, ia selepas seorang wanita warga Thailand mencetuskan penularan di kawasan terbabit.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lokaliti tersebut adalah Kampung Bukit Cina dalam Mukim Pasir Akar telah merekodkan 55 kes COVID-19.

“Kes indeks bagi kluster komuniti Bukit Cina ini daripada seorang wanita Thailand yang berusia 64 tahun dan disahkan positif virus itu hasil saringan individu bergejala pada 8 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), perlaksanaan PKPD tersebut dijadualkan sehingga 30 Ogos depan.

Sementara itu, PKPD di satu lokaliti iaitu Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan, Jabi ditamatkan mengikut jadual.

Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Terengganu mencatatkan 534 kes baharu COVID-19 tanpa sebarang kematian direkodkan.