• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Waspada Hadapi Musim Banjir - Maliaman

HULU TERENGGANU, 11 November - Penduduk di sekitar Hulu Terengganu diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keselamatan keluarga mereka ketika perubahan angin monson yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang berisiko.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata,pPenduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran hujan lebat ketika ini.


“Kebiasaannya pada setiap hujung tahun merupakan musim tengkujuh di Pantai Timur. Melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat di daerah ini khususnya agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir.

“Oleh itu, masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai disarankan supaya lebih berjaga-jaga serta berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga.Pastikan anak-anak kecil tidak bermain air, mandi di sungai terutama pada musim hujan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau hakisan tanah di Kampung Machang, pagi ini.


Tambahnya, jika air mulai melimpah dari sungai dan membanjiri kawasan kampung, maka ibu bapa perlu lebih peka, jaga keselamatan anak-anak dan jangan sesekali membiarkan mereka bermain dengan air banjir, sungai, parit besar dan sebagainya yang berisiko.

 “Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini.

“Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.