• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

HULU TERENGGANU, 27 September - Masih ramai rakyat Malaysia termasuk individu di Terengganu yang tidak sedar serta memandang remeh tentang penyakit tidak berjangkit dan risiko penyakit tersebut terhadap kesihatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, rakyat perlu membuka mata bahawa pencegahan penyakit tidak berjangkit memerlukan komitmen yang tinggi daripada diri sendiri memandangkan peningkatan jumlah kes penyakit tidak berjangkit sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Antara penyebab kematian utama di Malaysia yang berpunca daripada penyakit tidak berjangkit ialah penyakit jantung dengan jumlah kes kematian sebanyak 18,267 pesakit mengikut data yang telah dikeluarkan oleh ‘’Ischaemic heart diseases (IHD).

Beliau berkata demikian semasa membaca teks perasmian mewakili ucapan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Bin Ghazali dalam Program Sukarelawan KOSPEN & Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu semalam.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr. Nor Azimi Binti Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, YB Dr. Mamad Puteh.

Tambah beliau, peningkatan jumlah pesakit bagi penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti, berkait rapat dengan budaya pemakanan dan gaya hidup masyarakat yang tidak baik dan kurang bersenam.

‘’Dengan pengamalan gaya hidup sihat, penyakit jantung dapat dikawal dan dicegah,sekaligus mengurangkan risiko kematian pra-matang akibat penyakit jantung dan strok dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sebagai rakyat prihatin terhadap kesihatan diri, kita hendaklah sentiasa mempraktikkan amalan pemakanan dan cara hidup sihat bagi mencegah penyakit-penyakit tersebut,”ujarnya.

Menurutnya lagi, rakyat perlu menyahut seruan membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengukur tahap kesihatan serta melibatkan diri dalam program-program yang khusus untuk mendapat kemahiran tentang pengamalan gaya hidup sihat.


Tag: