• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Wira Darul Iman Terima Anugerah Daripada Kerajaan Terengganu


Dr. Samsuri menyerahkan anugerah kepada Mustafa sambil diperhatikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Enam pemuda yang membantu menyelamatkan sebuah keluarga di Pulau Warisan 8 Februari lalu dianugerahkan sebagai 'Wira Darul Iman' daripada Kerajaan Terengganu.

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam program Himpunan Belia dan Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT) 2019 di Stadium Negeri semalam.

Almarhum Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, diwakili bapanya, Mohd Mustafa, 66, menerima anugerah tersebut beserta wang tunai RM10,000 sebagai tanda penghormatan atas pengorbanannya yang tidak ternilai.

Manakala, lima 'saudara' iaitu Omar Abdul Aziz Othman, 27, Saiful Anuar Mohd, 37, Shahrul Mizan Harun, 34, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, dan Mohd Asadullah Jamaluddin, 28, turut menerima anugerah dan wang tunai bernilai RM3,000 sumbangan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan.

Wira Darul Iman jadi tauladan belia negeri.
Dr. Samsuri berharap sumbangan tersebut dapat membantu mereka dalam urusan seharian.

"Memang ia tidak dapat membayar nilai pengorbanan mereka, cuma ini sebagai tanda ingatan daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.

Mengimbas kejadian tersebut, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Storm yang dinaiki lima sekeluarga meluncur dan terjunam ke dalam sungai sebelum diselamatkan oleh keenam-enam wira berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Bari lemas dalam kejadian itu dan ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dua hari kemudian.





Tag: