• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

World #QuranHour Disambut Seluruh Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 April – Program World #QuranHour peringkat Negeri Terengganu disambut dan diadakan di seluruh daerah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Ridzuan Hashim berkata, kesemua Perpustakaan Awam di setiap daerah mengadakan program itu pada jam 11 pagi secara serentak.

Katanya, program tersebut merupakan satu kempen yang bertujuan meningkatkan interaksi individu dengan Al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal.

“Ia bagi membentuk masyarakat yang mematuhi segala ajaran atau suruhan agama dan menjauhi segala larangannya yang berlandaskan Al-Quran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Program World #QuranHour 2023 peringkat negeri Terengganu bertempat di Perpustakaan Awam Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah.

Tambah Ridzuan Hashim, tema bagi World #QuranHour pada tahun ini ialah 'Memanusiakan Ummah' daripada surah Al-Insan.

“Penghayatan surah tersebut diharapkan dapat memberi persediaan dan perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perpustakaan Awam Terengganu berkata, program tahunan ini bermatlamat untuk mengajak dan menggalakkan umat islam membaca, mendalami isi dan maksudnya serta mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam Al-Quran.

Tambahnya lagi katanya, program yang berskala besar ini sememangnya memberi impak yang besar jika dilihat setelah menganjurkannya beberapa kali sebelum ini.

Program itu diserikan dengan alunan bacaan Al-Quran Surah Al-Insan oleh Qari, Mohamad Syakir Asyraf Shohaimi diikuti sesi tadabbur bersama Ustaz Muhammad Syafiq Mohd Sakri.

"Program yang menerima kunjungan lebih 500 peserta itu diteruskan dengan pembahagian hadiah kepada pemenang yang menyertai pertandingan World #QuranHour dan berakhir sekitar jam 1 petang.

"Al-Quran memberi petunjuk, jalan yang paling lurus, adil dan benar untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat kepada manusia," ujarnya.

 

 

 

 

 


Tag: