• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Wujud Jawatankuasa Bagi Kelulusan Projek Pelaburan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Satu penubuhan jawatankuasa akan diwujudkan pantas bagi memastikan setiap projek pelaburan yang dijalankan di Terengganu dapat diluluskan dengan kadar segera. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, alternatif itu diyakini dapat mengatasi masalah yang timbul berkaitan isu kelewatan kelulusan yang lazimnya dialami rata-rata pelabur.

“Antara cabaran besar yang selalu dihadapi dalam kalangan pelabur ialah proses mendapatkan kelulusan di peringkat awal hingga kilang didirikan.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan mewujudkan jawatankuasa fast track yang akan bertindak sebagai pemantau dan membantu dari segi mendapatkan kelulusan cepat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi sesuatu permohonan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, selain itu elaun cukai 100 peratus daripada nilai perbelanjaan modal turut ditawarkan untuk tempoh lima tahun serta pengecualian duti setem berkaitan pengambilalihan tanah dan pembangunan

Tambahnya, kerajaan turut menawarkan beberapa insentif bagi menarik pelabur ke Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di Kertih termasuk menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Katanya, antara insentif di sektor pembuatan itu ialah pengecualian cukai sebanyak 70 atau 100 peratus untuk satu atau 15 tahun bergantung kepada servis, industri atau produk.