• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Wujud Urusetia Khas Bantu Golongan Wanita Di Terengganu

Hanafiah Mat. 
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa urusetia wanita bagi menjaga kedudukan golongan berkenaan meliputi semua daerah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, kebanyakan jawatan tinggi pada hari ini dipegang oleh wanita dan ia merupakan tanggungjawab portfolionya  bagi memastikan wanita sentiasa berada di hadapan bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi dalam pentadbiran dan juga politik.

“Insha Allah pada bulan Disember ini, kita akan wujudkan urusetia wanita bagi membantu portfolio saya dan juga merancang satu sambutan khas untuk wanita yang diberi nama Hari Aisyah sempena nama isteri Rasulullah SAW sekitar bulan dua nanti.

“Pemilihan nama Aisyah dibuat dengan mengambil kira negeri Terengganu sebagai negeri ilmu dan Aisyah merupakan tokoh wanita dalam keilmuan. Sambutan tersebut akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Dewan konvesyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.


Turut hadir, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu, Muhammad Noh Abdullah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zuhami Omar dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri, Asma Mahidin.

Tambahnya lagi, sebuah lagi tanda kecaknaan kerajaan negeri untuk golongan ibu tunggal bakal beroperasi pada bulan Mac tahun hadapan.

“Kompleks Ibu Tunggal yang telah siap dibina di Kampung Bukit, Chendering akan beroperasi sepenuhnya untuk menjaga kebajikan lebih 32,000 golongan ini yang berdaftar di negeri ini.

“Ia bakal beroperasi sebagai tempat yang akan menguruskan segala hal berkaitan ibu tunggal bagi memastikan kecaknaan dan penjagaan dari segi perundangan serta sara hidup berada dalam keadaan baik. Kita juga akan adakan seminar perundangan kerana sebahagian wanita apabila mereka bercerai, mereka tidak tahu pasal hak nafkah,” ujar Hanafiah.

Menurutnya lagi, antara pengisian di kompleks itu nanti, pihak berkaitan akan adakan cara untuk menjalankan perniagaan dan menyalurkan bantuan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) supaya ibu tunggal dapat berdikari dan bekerja menanggung kehidupan harian mereka.

Tag: