• 07 Jul 2022 | 7 Zulhijah 1443

Wujudkan Pusat Sehenti Untuk 'Rider' Di Setiap Daerah

KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mewujudkan pusat sehenti di setiap daerah yang dikhususkan untuk pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan (rider) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pusat tersebut membolehkan penghantar makanan berkumpul, berehat, berbincang, solat dan sebagainya buat seketika sebelum menyambung tugasan masing-masing.

“Antara usul yang saya terus bagi respon adalah mengenai usul kepada pihak kerajaan untuk menyediakan ‘one stop center’ ataupun pusat sehenti bagi kemudahan rider yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

“Isu ini sangat realistik dan berlaku di semua daerah, saya sendiri menyaksikan kumpulan penghantar makanan berkumpul di bawah pokok, celah-celah bangunan yang sebenarnya tidak sesuai dan selamat untuk mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II, Penggal Ke-33, Sesi 2021-2022 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.

Pada persidangan tersebut, seramai 113 peserta yang melibatkan semua jawatankuasa daripada Majlis Gabungan Belia Negeri Terengganu dan juga pelbagai agensi dan jabatan samada peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan telah mengambil bahagian.

Sebanyak 13 usul dibentangkan dan semua usul tersebut dibahaskan serta diterima sebulat suara oleh semua pihak.

Katanya, isu yang diusulkan ini merupakan satu perkara yang perlu diuruskan dengan kadar segera oleh PBT dan beliau memberi jaminan akan berhubung dengan pihak PBT mengenai perkara tersebut.

“Model  ini (pusat sehenti) yang saya lihat di Hulu Terengganu sangat praktikal dan tidak menjadi masalah kepada daerah-daerah lain untuk membina tempat rehat seumpama itu bagi keselesaan belia kita terutamanya yang bekerja sebagai penghantar makanan,” ujarnya.