• 23 Okt 2021 | 16 Rabiul Awal 1443

Wujudkan Tabungan Rakyat, Perkasa Sistem Waqaf

Oleh : Syahirah Salleh

KUALA LUMPUR, 28 September - Ahli Parlimen Kuala Nerus mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan sistem tabungan rakyat yang boleh digunakan ketika krisis seperti pandemik Covid-19 sekarang.

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat kini hanya mempunyai dua sistem tabungan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun, katanya pandemik Covid-19 menyebabkan sebahagian rakyat terpaksa menggunakan simpanan KWSP yang sepatutnya hanya digunakan pada usia tua.

Katanya, kerajaan mempunyai satu lagi pilihan, iaitu Tabung Haji yang perlu diperkasakan sepenuhnya dan bukan sahaja simpanan untuk waktu tua, tetapi boleh digunakan ketika krisis.

“Dengan tabungan yang besar milik negara, digunakan dalam program pelaburan yang terjamin dan berisiko rendah, maka rakyat boleh mendapat dividen besar, sehingga mungkin mencapai 10 peratus,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mohd Khairuddin yakin jika tabungan itu diwujudkan dan disusun semula oleh kerajaan, rakyat akan mempunyai satu lagi bentuk tabungan simpanan yang boleh digunakan ketika berhadapan sebarang krisis.

Beliau meminta kerajaan meneliti cadangan ini dengan serius untuk memperkasakan sistem tabungan rakyat bagi menghadapi perkara yang berlaku seperti hari ini.

Sementara itu, Dr Mohd Khairuddin mencadangkan kerajaan supaya memperkasakan sistem waqaf yang sepatutnya menjadi sumber pendanaan untuk pembangunan rakyat.

Katanya, walaupun di Malaysia terdapat Yayasan Waqaf Malaysia, tetapi jumlah kutipan yang dikumpul masih kecil dan perkara ini perlu diberi perhatian. – Harakahdaily.