• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik

SETIU, 15 Oktober - WWF Malaysia, syarikat H&M, Persatuan Wanita Kampung Mangkok (PEWANIS) dan penduduk Kampung Mangkok bertindak melupuskan barangan elektrik tidak terpakai bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Pegawai Program berkenaan, Nur Syahirah Wahab berkata, aktiviti itu juga sebagai tanda sokongan bagi menjayakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020.

"Program yang diadakan pada hari ini banyak mengumpulkan barangan seperti televisyen, pencetak, radio, komputer, telefon bimbit dan banyak lagi.

"Ini usaha kita menjaga alam sekitar dan menyedarkan masyarakat bahawa barangan sisa elektrikal dan elektronik perlu dihapuskan secara terkawal dan baik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program pelupusan di Kampung Mangkok di sini hari ini.

Program yang diadakan selama dua hari di Rumah Pink, PEWANIS Kampung Mangkok itu berjaya mengumpul lebih 100 barangan elektrikal dan elektronik.