• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

YADIM, Terengganu Mahu Lahirkan Pendakwah Penuhi Pasaran Sabah, Sarawak

 

KUALA TERENGGANU, 10 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan kerajaan Terengganu bakal menjalinkan kerjasama strategik bagi melahirkan lebih ramai pendakwah berkaliber untuk memenuhi keperluan di Sabah dan Sarawak terutamanya kawasan pedalaman.

Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hassan berkata, selain dua negeri terbabit, pihaknya turut berusaha untuk memperbanyakkan daie di perkampungan asli seluruh negara.

“Apa yang difokuskan sekarang ialah membentuk dan melahirkan tenaga pendakwah bagi memenuhi pasaran terutamanya di Sabah, Sarawak dan perkampungan orang asli yang masih kurang penghayatan Islamnya.

“Ini berlaku kerana faktor kekurangan pendakwah di kawasan tersebut, sebelum ini mereka sudah diberikan kefahaman tentang Islam, namun setelah lama berlalu penghayatan itu makin berkurang kerana kurang fokus daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Nasruddin, usaha menyelaras dan merancakkan perjalanan dakwah di Malaysia akan terus dipertingkatkan termasuk dengan mengadakan persidangan NGO Islam pada 19 September ini.

“Alhamdulillah setakat ini telah ada 400 NGO yang telah mendaftarkan diri untuk terlibat dalam persidangan itu, jumlahnya agak besar namun kita akan kawal kehadiran supaya ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

“YADIM melakukan usaha ini untuk menyelaras (koordinat), bukan untuk menjadi bos atau menaungi sesiapa tetapi hanya platform kepada semua NGO.

“Selepas persidangan itu NGO akan dibahagikan mengikut kluster seperti dakwah lapangan, orang asli, Sabah dan Sarawak, pendidikan, serangan pemikiran dan sosial mengikut keperluan, ada modul dan plan untuk dirancang dan dilaksanakan bersama,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Nor menghargai kesudian pihak YADIM dalam mengerakkan dakwah secara lebih bersepadu di pelbagai peringkat.

“Hasrat yang dibincangkan hari ini merupakan usaha murni untuk mengangkat syiar Islam di Malaysia dan mengembalikan Terengganu sebagai negeri yang gemilang dalam bidang agama suatu masa dulu,” tambah beliau. 
 


Tag: