Yahaya Rakam Penghargaan Kepada Petugas Media
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas media yang bekerja keras dalam menyampaikan maklumat sahih dan tepat sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 yang berlangsung selama tiga hari di Wisma Darul Iman bermula 10 ogos lalu.
Katanya, pengorbanan dan jasa petugas ‘barisan hadapan’ itu wajar diberi perhatian.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang berada di barisan hadapan melaporkan dan menyalurkan berita terkini berkenaan sidang DUN.
“Tahniah dan terima kasih juga kepada bahagian teknikal Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang sentiasa memastikan perjalanan dewan berjalan dengan lancar.
"InsyaAllah sistem video digital, bilik media dan lain-lain akan ditambah baik dari semasa ke semasa" ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan singkat selepas sesi pagi Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Zulkifly Isa.
Yahaya berkata, lawatan singkat itu sebagai meraikan para petugas yang bertungkus-lumus sejak hari pertama persidangan lagi.