• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Yang Di-Pertuan Muda Berkenan Rasmi Korobori Pengakap Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan

Tengku Muhammad Ismail berkenan merasmikan Korobori Pengakap Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2018 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kuala Nerus, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kasim
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Korobori Pengakap kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2018 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kuala Nerus, hari ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim.

Turut hadir, Ahli Pangkuan DiRaja Terengganu; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifly Muda; Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr Shafie Salleh dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Dato’ Abdullah Taib.


Seramai 7,000 ahli pengakap seluruh negara berhimpun di negeri ini selama empat hari bermula 6 Julai lalu untuk bertemu, berinteraksi, berkenalan, bertukar-tukar fikiran serta mengenali budaya antara sesama mereka.

Dalam pada itu Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri berbesar hati menerima kedatangan ahli-ahli pengakap dari seluruh negara.

“Saya yakin aktiviti dan program menarik yang disusun oleh pihak urusetia sepanjang program berlangsung banyak memberi manfaat kepada para peserta.

“Diharapkan mereka boleh mengambil sebanyak mungkin manfaat dari program ini untuk dijadikan panduan dan pengalaman yang berharga,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, pengakap sedia dikenali dengan  kerja-kerja membangunkan anak remaja termasuk membantu membina sistem nilai yang berasaskan prinsip kerohanian, sosial dan keperibadian.


“Sememangnya soal moral dan kerohanian merupakan perkara yang sangat penting dalam pembangunan modal insan.

“Oleh itu, sukalah saya mengajak kita semua menambah baik keperibadian diri mengikut lunas ajaran Islam dengan memperbanyakkan program-program berbentuk kerohanian dan keagamaan keranan pembanguan modal insan yang baik mampu melahirkan individu yang boleh berdikari dan berdiri atas kaki sendiri,” ujarnya.

Katanya, tumpuan yang ditonjolkan pengakap dalam membangunkan modal insan adalah selari dengan dasar kerajaan negeri yang menitikberatkan soal pembangunan  modal insan berasaskan prinsip Islam.

Tag: