• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Yayasan Islam Johan Perarakan Maulidur Rasul Terengganu

KUALA NERUS, 28 September – Yayasan Islam Terengganu (YIT) dinobat sebagai johan pertandingan perarakan sempena Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di sini.

Kontinjen YIT menjadi johan dalam kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi johan dalam kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan.

Manakala, Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) Ladang pula dinobat johan kategori Sekolah Menengah dan IPTA/IPTS.

Dalam pada itu, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu dan JPKK Mukim Wakaf Tembesu juga dinobatkan sebagai johan.

Kedua-dua kontinjen tersebut menjadi johan dalam kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) Syarikat Swasta dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Kesemua johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Terdahulu, Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.

Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

 


Tag: