• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Yayasan PETRONAS Santuni 3,000 Ribu Pelajar B40

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Yayasan PETRONAS berjaya menyantuni seramai 3,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini sempena program PETRONAS Back To School 2022.  

Pengurus Kanan, PETRONAS Pantai Timur, Azeman Said, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,800 disampaikan kepada murid sekolah rendah terpilih di daerah Kemaman, Marang, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu. Manakala 1,200 lagi sumbangan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah rendah terpilih di daerah Dungun, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Katanya, sejak dilancarkan pada tahun 2003, program PETRONAS Back To School terus komited dengan matlamatnya meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah di dalam bidang pendidikan di negara ini.

“Situasi pandemik dan peningkatan harga barang, menambahkan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa di dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak. 

“Justeru itu, kami berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah di dalam menghadapi sesi persekolahan 2022,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah, pakaian sukan serta kit kebersihan diri kepada Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Awi  Salleh, di dalam satu majlis ringkas di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Jelasnya, setiap murid menerima sumbangan sepasang pakaian seragam sekolah, sepasang pakaian sukan, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas, sebuah bekas makanan dan sebuah botol minuman.

“Mereka juga dibekalkan barang keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis termasuk set geometri kepada pelajar sekolah menengah dan buku aktiviti yang disediakan sempena Program Duta Guru anjuran Yayasan PETRONAS. 

“Selain daripada itu, setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula) dan dua helai tuala muka,”tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Azeman berkata sumbangan Back To School PETRONAS pada kali ini memperlihatkan peningkatan jumlah penerima sebanyak 71 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, pada tahun 2022, sumbangan tersebut disampaikan kepada 36 ribu pelajar di seluruh negara dengan 22 ribu daripadanya terdiri daripada murid sekolah rendah dan 14 ribu pelajar sekolah menengah rendah.