• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Yayasan Terengganu Hargai 54 Kakitangan Dalam Majlis APC


Yayasan Terengganu (YT) telah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang di Dewan Besar Wisma Seri Amar, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff Awang berkata, penyampaian anugerah kecemerlangan YT 2016 itu dianugerahkan mengikut kategori iaitu APC & Insentif Lama Berkhidmat Yayasan Terengganu, Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Jasamu Dikenang.

A. Latiff berkata, seramai 29 penerima APC dan 10 guru cemerlang dinilai berdasarkan prestasi yang ditonjolkan pada tahun lepas.

Katanya, YT memberikan hadiah yang berupa wang tunai RM1000 dan siji penghargaan kepada penerima APC sebagai menghargai prestasi yang ditunjukkan.

“Saya berharap dengan hadiah yang diberi ini dapat menyuntik semangat kakitangan lain untuk terus memberikan sepenuh perhatian dan daya usaha ke arah mempertingkatkan mutu kerja yang berkualiti tinggi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada 15 pekerja yang telah lama berkhidmat lebih 20 tahun dengan YT. Sesungguhnya jasa mereka amatlah besar dan tidak dapat dibalas dengan wang ringgit.


“Malah, saya juga ingin memberi penghargaan kepada mantan Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong yang telah bersara pada bulan Mac yang lalu atas perkhidmatan beliau sepanjang di YT,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Turut hadir, Pengarah YT, Ishamudin Hashim dan Mantan Pengarah YT, Mohamad Sulong.
Sementara itu, Ishamudin ketika berucap menyeru semua kakitangan agar dapat menerapkan Tonggak 12 penjawat awam sebagai panduan dalam membentuk keperibadian yang cemerlang.

“Selaras dengan prinsip TTB, kita perlu menekankan elemen disiplin, tegas dan mesra bagi memastikan YT menjadi sebuah organisasi yang cemerlang kerana setiap perkhidmatan yang dilakukan oleh YT akan dinilai oleh rakyat.

“Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima APC hari ini dan berharap kakitangan lain lebih berusaha untuk menjadikan YT cemerlang dalam menyediakan peluang pembangunan modal insan yang berkualiti,” katanya.

Tag: