10 Keluarga di Pulau Redang Terima Rumah Pemberian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Yayasan Terengganu (YT) menjadi satu lagi badan berkanun kerajaan Terengganu yang menyahut seruan Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah dalam pengurusan pentadbiran apabila melaksanakan Pelan AntiRasuah Organisasi (OACP) Yayasan Terengganu 2022-2026, hari ini.
Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pelancaran Pelan OACP tersebut menjadikan YT antara agensi terawal melaksanakannya di negeri berkenaan.
"Dengan pelaksanaannya, diharapkan kakitangan YT akan lebih peka dengan gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Ini usaha yang baik selaras saranan kerajaan negeri serta persekutuan.
"OACP ini merupakan salah satu asas untuk kita bergerak lebih mantap dan prihatin dengan kehendak rakyat sebagai pelanggan. Saya mengharapkan dengan kita mengadaptasi norma baharu pada pasca Covid-19 ini, ia menjadi satu masa yang sesuai untuk kita mengubah cara kerja, berfikir luar kotak dan berusaha di luar zon selesa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Pelan OACP Yayasan Terengganu 2022-2026 di Dewan Besar YT, di sini hari ini.
Turut serta ialah Pengarah YT, Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, PKPj Sofian Harun dan wakil Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Harisham Ibrahim.
Jelas Tengku Sri Bijaya Raja, di Terengganu setakat ini terdapat sekitar tiga hingga empat agensi dan jabatan yang selesai melancarkan OACP bagi jabatan masing-masing.
"Manakala yang lain, banyak yang sedang berusaha menyiapkannya, ada yang telah 80 peratus siap di mana prosesnya terkekang akibat Covid-19 sebelum ini.
"Tahniah YT dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang berjaya menyelesaikannya dengan bantuan dan kerjasama IIM di sebalik Covid-19.
"Saya harap pada suku pertama tahun hadapan, akan lebih banyak lagi jabatan dan agensi kerajaan negeri dapat menyelesaikannya. Saya syorkan supaya kita cepat selesaikan OACP ini untuk kita bergerak dengan lebih baik pada tahun 2022," katanya.