KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Seramai 26,947 pelajar telah menerima manfaat menerusi bantuan pendidikan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sejak tahun 2008 menerusi peruntukan hampir RM15 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia merupakan satu komitmen tidak berbelah bahagi dalam menghargai para pelajar tingkatan enam serta usaha memartabatkan pendidikan di negeri ini.
Katanya, pada tahun 2020 pula sebanyak RM765,500 ribu telah diperuntuk kepada 1,531 pelajar yang melibatkan 44 buah sekolah di seluruh Terengganu.
“Ini juga membuktikan tiada kumpulan pelajar yang tersisih atau terpinggir dari mendapat bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
“Gunakan dan manfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberikan untuk meningkatkan komitmen mereka ketika berhadapan dengan peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.Kita mengharapkan pada tahun ini rekod pencapaian akan lebih baik lagi berbanding tahun-tahun sebelumnya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan STPM Tahun 2022 Yayasan Terengganu bagi Daerah Kuala Terengganu bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato Mohd Azmi Mohamad Daham.
Dalam majlis tersebut, seramai 332 pelajar dari sekolah sekitar Kuala Terengganu menerima bantuan pendidikan STPM sebanyak RM500 setiap seorang melibatkan peruntukan RM166,000 bagi tahun 2022.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya meletakkan bidang pendidikan sebagai salah satu agenda terpenting pembangunan serta transformasi negeri yang ditunjangi oleh Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS)2030.
“Pelbagai skim bantuan, penganugerahan serta program pendidikan telah disesuaikan dengan kehendak semasa agar anak Terengganu tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat dari inisiatif pendidikan ini bagi melahirkan modal insan berkualiti di masa hadapan,”ujarnya.