• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

YDSM Sumbang 8,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19 Kepada JKNT

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos -Yayasan DiRaja Sultan Mizan(YDSM) menyumbang 8,000-unit kit ujian kendiri Covid – 19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail berkata, sumbangan yang bernilai RM280 ribu mampu meringankan beban serta tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya dari JKNT dalam pelaksanaan setiap ujian COVID-19.

"Ia juga membantu mempercepatkan proses pengasingan kendiri bagi mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan individu positif wabak berkenaan selepas mendapat keputusan segera.

"Selain itu, bantuan ini meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf untuk melakukan ujian COVID-19," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Azri Sani Dato’ Mazlan,  kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Kasemani Embong.

Beliau juga berkata, YDSM turut memperuntukan RM30 ribu sebulan dalam bentuk sumbangan makanan kepada barisan hadapan JKNT di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bermula Februari lepas.

Dalam pada itu juga, YDSM turut memberikan sumbangan barangan dapur kepada golongan asnaf khususnya kepada penerima bantuan YDSM yang terjejas sumber pendapatannya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak tahun lepas.

"Sebanyak RM200 ribu telah diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 900 keluarga yang terjejas,"tambahnya dalam kenyataan tersebut.