• 17 Sept 2021 | 9 Safar 1443

'YouTuber, Jurutera Dan Terengganuan di Jepun' - Kisah Ridzwan

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Walaupun terpisah dengan jarak lebih 5,000 kilometer (km) daripada keluarga di Kuala Terengganu, ia bukan alasan bagi Muhammad Ridzwan Normahazan, 25, untuk berjaya dan bekerjaya sebagai jurutera dan 'YouTuber' di negara Matahari Terbit.

Ridzwan atau lebih mesra disapa Ridzwan-san di Jepun berkata, dia mula menjejakkan kaki di Jepun pada tahun 2016 bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Meiji, Tokyo dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama dua tahun selepas menghabiskan dua tahun pengajian di Malaysia.

“Kini saya telah menetap dan nak masuk tahun ketiga bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal, melukis cipta ‘design’ robot pembungkus di sebuah syarikat bernama Syntegon Technology, rumah saya di Wilayah Saitama kira-kira 30 km dari ibu negara," katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.

Ridzwan yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik, mengulas, antara cabaran dalam menyesuaikan diri dengan budaya negara lain adalah dari segi makanan dan bahasa.

“Walau bagaimanapun, nasihat dan bantuan daripada senior warga Malaysia berpengalaman di sini telah mengajar saya dan alhamdullilah setelah hampir lima tahun menetap di tempat orang, perbezaan budaya tidak menjanggalkan lagi," katanya lagi.

Ridzwan (di tengah hadapan) bersama warga Malaysia di Jepun.

Berkongsi mengenai karier sampingan sebagai YouTuber, beliau berkata, hobinya itu bermula sejak di bangku sekolah menengah sekitar 2011 dengan nama akaun 'ridzBORED', menghasilkan video alih suara inspirasi daripada YouTuber Malaysia seperti Faradyable.

Kini, jumlah 'subscribers' mencecah 46 ribu yang mengikuti salurannya berkaitan dengan kehidupannya dan isu-isu berkaitan budaya Jepun dan Terengganu.

“Antara video yang pernah viral seperti video berjudul 'Bila Orang Terengganu Cakap KL' dengan jumlah view mencecah 800 ribu serta 'Do Japanese Like Malaysia?' dengan jumlah penonton melebihi 400 ribu.

“Kebanyakan video dibikin sendiri yang ideanya datang daripada keinginan berkongsi pengalaman dan budaya di Jepun, mengisi ruang kekosongan Youtuber Malaysia di luar negara seperti 'Matluthfi90' (Australia)," jelasnya.

Beliau yang juga fasih berbahasa Jepun, turut menceritakan bisnes baharunya ‘Kirim Barang Jepun’, di mana perkhidmatan tempahan barangan dari Jepun diusahakan melalui platform Instagram.

“Memandangkan saya pulang ke Malaysia, tempahan dibuka untuk beli dan bawa pulang barangan seperti jam G-Shock, baju anime dan sebagainya sebagai pendapatan tambahan.

“Sekarang masih belajar lagi selok belok perniagaan dan juga merancang untuk mengirim barangan Malaysia ke Jepun juga,” tambahnya.

Ikutilah Ridzwan di saluran YouTube ‘ridzBORED’ manakala maklumat lebih lanjut berkenaan perkhidmatan kirim barang dari Jepun di profil Instagram ‘@kirimbarangjepun’.