KUALA TERENGGANU, 10 Disember - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah mengagihkan lebih RM4 juta bagi membantu pembangunan dan pengembangan usahawan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Ariffin Deraman memaklumkan, bagi tahun 2025 sebanyak RM4,271,397.36 telah diagihkan menerusi skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
"Jadi pembiayaan untuk tahun 2025, Alhamdulillah lebih besar daripada tahun lepas. Tahun lepas kita (peruntukkan) hampir RM3 juta. Tahun ni sebanyak RM4,271,397.36 sen yang melibatkan usahawan seramai 1,118 orang usahawan.
"Ia melibatkan yang pertama sekali, pembiayaan dan juga dana serta geranlah yang kita bagi. Kalau geran ataupun dana seramai 1,003 orang usahawan. Manakala, pembiayaan (diterima) 115 usahawan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penyerahan surat tawaran TUGAS di Dewan Serbaguna YPU, di sini hari ini.
Penyerahan buat kali keempat bagi tahun 2025 itu melibatkan 38 usahawan bagi Skim Pembiayaan TUGAS dengan agihan sebanyak RM677,795.90.
Selain itu, seramai 10 usahawan menerima geran Dana Usahawan& Industri Mikro (DUIT) melalui peruntukan bernilai RM26,366 dan 824 usahawan pula menerima Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dengan agihan sebanyak RM1,275,765,22 pada hari ini.
Ariffin menjelaskan, antara faktor yang mendorong peningkatan dana peruntukan melalui program berkenaan adalah kadar efisien pembayaran semula pinjaman kepada YPU.
"Memanglah keefisienan ini, memang siapa-siapa pun tak boleh 100 peratus. Tetapi lebih 80 ke 85 peratuslah kita dapat balik," tambahnya.