Jalur Gemilang
Berita :
YPU, JPKK Bantu Usahawan Karipap Tingkat Keluaran
YPU, JPKK Bantu Usahawan Karipap Tingkat Keluaran
Abdul Fattah Kamarudin
3 jam yang lepas
97

Marang, 17 September - Seorang usahawan kuih karipap di Kampung Jenang meluahkan rasa syukur selepas menerima sumbangan sebuah mesin penguli tepung yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran kuihnya.

Roshidah Mohd, 46, berkata sebelum ini dia hanya menguli tepung menggunakan tangan sehingga mengehadkan jumlah pengeluaran kepada kira-kira dua kilogram tepung sehari.

“Saya nak ucap terima kasihlah kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atas sumbangan ini. Sebelum ini saya hanya uli tepung menggunakan tangan. Dalam dua kilo sahaja sehari,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Mohd Rosbi Yusuf di Kampung Jenang, di sini.

Menurut Roshidah, bantuan berkenaan bukan sahaja meringankan beban kerja, malah memberi peluang kepadanya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran pada masa akan datang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jenang yang membantu memudahkan proses permohonan bantuan berkenaan.

“JPKK tahu yang saya ni buat kuih, jadi mereka yang maklumkan kepada saya bahawa ada bantuan kepada usahawan.

“JPKK juga yang bantu buatkan surat permohonan. Saya hanya beri salinan kad pengenalan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosbi berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Jejak usahawan Komuniti Daerah Marang sempena Hari Pekerja 2026 yang berlangsung pada 4 Mei lalu di Balairaya Kampung Jenang.

Bagaimanapun, katanya, penyerahan barangan kepada penerima mengambil sedikit masa berikutan masalah penghantaran.

Selain mesin penguli tepung, beberapa usahawan lain turut menerima bantuan berupa peti sejuk beku, mesin gerudi serta dapur tiga pembakar.

Sumbangan berkenaan diharapkan dapat membantu usahawan kecil meningkatkan keupayaan operasi dan seterusnya mengembangkan perniagaan masing-masing.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan