• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

YPU Perkenal Skim Pinjaman Tanpa Penjamin

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Satu skim pinjaman baharu tanpa penjamin khas kepada usahawan telah diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bermula Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata skim tersebut merupakan salah satu penambahbaikan daripada skim-skim pinjaman sedia ada.

"Daripada hasil makluman usahawan-usahawan Terengganu serta ditambahbaik oleh pihak pengurusan YPU ialah kita wujudkan satu pinjaman mudah yang dinamakan Skim Pinjaman Mudah Usahawan (SPMU). 

"Apa yang menariknya kepada skim ini adalah yang pertama ianya diproses kurang dari sebulan iaitu 21 hari hingga 30 hari untuk diluluskan pinjaman.

"Kedua ialah peminjam atau pemohon yang memohon dalam skim ini tidak perlu mengemukakan penjamin," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, penambahbaikan tersebut akan memudahkan para usahawan terutama usahawan kecil di negeri ini untuk mendapatkan pinjaman dengan had maksimum sehingga RM5,000 sahaja.

"Jika sebelum ini orang kata proses agak lambat ataupun proses yang ada perlukan penjamin, sukar bagi pemohon-pemohon untuk mencari penjamin kita cuba wujudkan suatu pembaharuan yang prosesnya cepat dan tidak perlukan penjamin. 

"Mudah-mudahan dengan skim baru ini dapat membantu serta memudahkan lagi usahawan-usahawan untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Borang-borang permohonan tersebut boleh didapati di laman sesawang rasmi YPU di www.ypu.com.my atau di pejabat YPU sendiri.