• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Zahid Menipu' – Hanafiah Mat

KEMAMAN, 31 Julai – Pengerusi Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, melahirkan rasa dukacita atas ucapan Zahid Hamidi itu menyatakan duit yang dihantar oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Seterusnya ujar Hanafiah, Zahid menyatakan kerajaan negeri menghantar ke setiap daerah hanya dibahagikan kepada orang-orang Parti Islam Se-malaysia (PAS) sahaja.

“Hari ini saya nak menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dan duit tersebut tidak masuk dalam akaun kerajaan negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan di laman Tiktok rasmi miliknya kelmarin.

Tambah Hanafiah, tidak munasabah Timbalan Perdana Menteri bercakap 'plawok' (bohong).

Beliau berkata, duit bantuan banjir itu, kerajaan pusat berikan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) seterusnya diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Data-data mangsa banjir diambil daripada Pejabat Daerah masing-masing.

“Di sana, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama Penghulu, Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka melihat dan menerima pendaftar mangsa-mangsa banjir di semua sekolah yang mereka pindah ataupun sebahagian mendaftar walaupun duduk di luar.

“Jadi duit tersebut melalui JPP yang mengagihkan terus dan mungkin sedang dibayar oleh APM.

“Tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri Terengganu, JPP yang membahagikan duit tersebut,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 


Tag: