• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ziarah Kebajikan Medium Dekati Rakyat

BESUT, 11 Oktober - Aktiviti ziarah kebajikan dengan mengunjungi dan memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan berupaya menjadi medium untuk mendekati rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, disebabkan itu aktiviti ziarah tetap menjadi rutin mingguan kepada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kota Putera dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) walaupun dalam norma baharu.

“Tiap-tiap minggu, kita akan pergi ke satu kampung dimana kita akan menziarahi pesakit-pesakit yang memang sakit uzur, warga emas, sakit ditimpa bencana atau lain-lain dengan mematuhi SOP untuk mengekang penularan COVID-19.

“Selalunya kita ambil lima atau enam buah rumah sehari melalui nama yang diberikan oleh ketua kampung.

“Sekiranya kita dapati ada rumah yang terlalu uzur dalam lawatan tersebut juga, kita akan usahakan untuk membantu,” ujarnya kepada pemberita.

Katanya, kerja-kerja turun padang menyantuni masyarakat sampai ke akar umbi amat penting bagi mengetahui sendiri masalah mereka yang sudah lama ditanggung tetapi tiada penyelesaianya.


Tag: